Original By Sufian bemillionaire69
PENDAHULUAN Translate in English
Peperiksaan
penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM memerlukan persedian lebih daripada
sekadar membaca semata-mata.Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang
mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan
peperiksaan. Sebab sama ada anda
bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada
persediaan anda untuk berjuang. Untuk
cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan
setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata.
Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar
menghadapi peperiksaan mereka.
Artikel
yang ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu. Pelajar perlu merujuk kepada guru kelas
masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab setiap soalan. Artikel di Laman-MAP ini bertujuan untuk
memberikan gambaran yang jelas tentang persediaan-persedian seperti fizikal,
mental, emosi dan ruhani. Harapan saya,
ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan dengan mengatakan
........
"AKU
BOLEH BERJAYA". Melangkah dengan
fikiran yang positif.
PERSEDIAAN FIZIKAL
KESIHATAN
Sebagai
pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat
persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk
akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu
ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak
mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:
Tidur yang
cukup.
Tidur
yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari.
Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh
sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak
baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda
latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.
Jaga
pemakanan.
Allah
s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang
telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).
Yang dimaksudkan
sebagai
yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat),
rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan
kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan
anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan
menggelapkan hati mereka.
Riadah.
Jangan
beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan
akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji
pelajaran.
Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali
seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang
mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat
akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan
sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua
aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.
KESELAMATAN
Anda
perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti
lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.
Elakkan diri dari sebarang kecederaan.
Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berad dalam wad di
hospital. Memanglah kecelakaan tidak
pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya
mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musimmenjelangnya
peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.
PERSEDIAAN MENTAL
Pelbagai Gambaran Negatif
Kerapkali
masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah
takutkan kegagalan. Walau pun anda
telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering
mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:
Menyerah kalah sebelum
berjuang
Ini
disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah
tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal
dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian
sebelum ini. Mereka cuba membaca teta
dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati
setiap fakta yang dibaca.
Merasa belum
bersedia
Keadaan
yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup
bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa
akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang
dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti
kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih
baik? Semua ini bermain difikiran.
Harapan ibu bapa
yang terlalu tinggi
Tidak
ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali
menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar
diri anak. Harapan yang terlalu tinggi
ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran
mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan
agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut
kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan
jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan
sungguh-sungguh. Anda redha walau apa
sekalipun keputusannya kelak. Ini akan
mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.
Berfikiran
Positif
Bagi
mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran
positif. Fokuskan mental anda kepada apa
yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang
bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan
sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.
Sekiranya
anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan
halangan. Ini akan melemahkan semangat
anda. Ia juga membuatkan anda meragu
kebolehan diri anda.
Dalam
berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:
"Sedikit
pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung".
"Something is
better than nothing"
Lakukan
"Latihan Minda" setiap hari.
"If you can't
see it, you can't have it".
Kata-kata
di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran
kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR,
maka 8A itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda
tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda
nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang
anda tidak gambarkan. Oleh itu, gambarkanlah
kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang
digambarkan itu. Makin jelas gambaran
yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk
merealisasikannya.
Untuk
membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti
dibawah.
1.Duduk
dikerusi anda dengan selesa. Tangan
diletakkan diatas peha. Badan tidak
bersandar. Tenangkan fikiran dan
kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.
2.Tarik
nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik
melalui hidung dan hembuskan melalui mulut.
Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda
membuang segala ketakutan dan kebimbangan.
3.Saya
percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa
kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin
berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling
bermakna kepada anda. Dimana
iaberlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang
anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa
yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya
ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.
4.Apabila
perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda
dengan tangan. Biar terasa sedikit
sakit. Buka mata anda, dan pejam
kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa
kali.
5.Kini
pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja
tersedia kertas soalan. Rasakan
ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini
anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca
keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap
soalan satu persatu dengan penuh keyakinan.
Ide keluar mencurah-curah.
Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha
anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.
6.Buka mata anda,
ulangi langkah 5 beberapa kali.
7.Buatkan
latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari.
Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda
dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan
menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.
Kejayaan
latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri,
kekerapan latihan dan tumpuan anda.
PERSEDIAAN
EMOSI
Dalam
saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk
gangguan emosi. Perkara-perkara yang
berikut perlu dielakkan:
Pertengkaran dengan
rakan-rakan;
Melakukan perkara
yang membuatkan ibu bapa marah;
Cinta monyet yang mungkin kecundang
disaat-saat
peperiksaan;
Bersikap terlalu
yakin - "overconfident";
Berprasangka buruk
terhadap orang lain;
Ramai
pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap
mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi
tabiat semulajadi mereka. Apa perasaan
anda kalau raka membohongi anda? Anda
mungkin serta-merta menjadi marah. Apa
berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda?
Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku
dengan persediaan peperiksaan anda? Anda
pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati berkekalan
berhari-hari.
Kenapa
tidak selepas ini kawal emosi anda.
Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh
berbohong dan sebagainya. Mereka ada
suara, biarkanlah mereka. Anda cuma
pekakkan telinga. Banyakkan bersikap
sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti,
rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Sebenarnya
peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang
mencetuskan emosi. Kita boleh melihat
setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu
positif atau negatif. Mulai hari ini
ambillah dari sudut yang positif.
Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah
sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.
PERSEDIAAN ROHANI
Selain
dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba
hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya
Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat
menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan
ini.
Antara perkara yang
boleh anda lakukan ialah:
1.Sentiasa
bermunajat kepada Allah. Lakukan solat
hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam
menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah
agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.
2.Minta
restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk
anakny sangat makbul. Jadi mintalah
restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.
3.Banyakkan
berzikir dan membaca al-Quran. Hati
yang banyak berzikir akan memperolehi
ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca
al-quran. Alla telah berfirman dalam
surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang
mafhumnya
"Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua
hati".
4.Jauhi
maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan
maksiat dan dosa besar. Mereka yang
bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.
5.Banyakkan
berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut
adab-adab berdoa.
MENGATASI PELBAGAI
SOALAN DAN KEBIMBANGAN
Saya tidak tahu
dimana patut bermula.
Jangan
panik. Senaraikan semua perkara yang
perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan
anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama
didahulukan. Rancang masa untuk
menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir
dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang
dibincangkan oleh
guru
atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat
yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar
tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda
dengan topik yang senang dahulu. Mulakan
30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama,
terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.
Terlalu
banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Buat
tinjauan. Berikan masa untuk anda
membuat tinjauan keseluruhan topik.
Kenalpasti topik-topik penting.
Fahami konsep-konsep
penting. Pastikan topik yang anda maih
belum faham. Mulakan belajar topik yang
penting-penting dahulu. Mana-mana topik
yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya
kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya
anda benar-benar sudah tidak punya masa.
Kalau anda masih sempat
membacanya, maka bacalah dengan terperinci.
Subjek
ini cukup membosankan. Anda rasa jemu
dan mengantuk apabila membacanya.
Belajar
secara aktif bukannya pasif. Gunakan
kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan
soalan-soalan berkaitan dengan topik
yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca
dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal,
menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan
apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran
minda. Belajar bersama rakan yang lebih
arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.
Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak
mampu mengingatinya.
Cuba
kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:
Hafal kata kunci,
bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik
Ceraian.
Gunakan Teknik
Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan
bawanya bersama
anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad-
kad ini.
Anda
rasa anda faham apa yang dibaca. Anda
rasa anda telah mengingatinya.
Jangan
cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari
peperiksaan tahun-tahun sebelumnya.
Bina soalan-soalan berdasarkan
tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa?
Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang
membaca sejarah Melaka diserang Portugis, tanyakan soalan-soalan seperti:
Bila
Melaka diserang?
Kenapa
Melaka diserang?
Siapa yang
menyerang?
Bagaimana
Melaka diserang?
Terlalu banyak
untuk dihafal dan diingat.
Penyusunan
maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat
dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam
bentuk yang sistematik. Terdapat
pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta
ini, antaranya ialah:
Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau
ringkasan tentangnya. Perhatikan
perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk
tersebut. Cuba kumpulkan maklumat kepada
beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini
boleh dilakukan). Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah
tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta
tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali
isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan
dan kesan ke atas mereka.
Tadi anda masih
ingat tetapi kenapa kini anda lupa?
Sering
buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa
sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam
masa 24 jam. Oleh itu anda perlu
merancang satu strategi agar anda mampu
mengatasi kelemahan ini.
Pastikan
setiap apa yang anda baca telah diringkaskan.
Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta
tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua
atau tiga patah perkataan. Selepas 24
jam, cuba lihat nota ringkas anda ini.
Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya,
bermakna anda sudah mampu memanggil
semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak,
semak semula sekali imbas teks asal.
Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan
lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa
ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah
payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.
Anda suka belajar
disaat-saat akhir.
Ramai
pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa
juga. Pendapat di atas adalah tidak
benar. Anda perlu belajar seawal mungkin
bagi mengenal pasti kelemahan dalam
sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk
bertanya pada guru dan rakan-rakan.
Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi
kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan
apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih
bersungguh-sungguh.
BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN
Ramai
pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal
dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku
disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam
peperiksaan. Mereka tidak merancang
jadual belajar dan masa mereka dengan
betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan
mulai sekarang
hinggalah
ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka yang terbaik.
Bersedia untuk belajar
Peperiksaan
semakin hampir. Anda perlu melakukan
persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.
Sekiranya
anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu
dirisaukan. Tetapi bagaimana pula
sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal
menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya
nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke
menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan,
Matematik Tambahan, Kejuruteraan).
Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran
ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.
Namun begitu, sekiranya anda mampu,
hendaklah anda dapatkan markah yang
terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab
persaingan ke universiti kini semakin sengit.
Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua
mata pelajaran.
Buatkan jadual
belajar untuk peperiksaan
Jangan
panik. Itu adalah pesan saya yang paling
utama. Walaupun anda rasakan banyak yang
perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang
lebih banyak masalah berbanding penyelesaian.
Tidak ada masalah tanya penyelesaian.
Mula
menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku
rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan
baik.
Langkah
pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata
pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda
kuasai dengan baik.
Langkah
kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan
darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh
tidak mesti anda kuasai dengan baik.
Buatkan
jadual perancangan belajar anda. Agihkan
tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum
peperiksaan sebab minggu terakhir ini
adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan
ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda
mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya
mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda
terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin
terpaksa
belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa
depan. Anda mungkin belajar 1 jam di
waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu
malam. Ini menjadikan masa belajar anda
7 jam sehari.
Mengingati Tajuk
Ramai
pelajar tidak menyedari hakikat penting ini.
Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam
sesuatu matapelajaran maka anda
mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.
Buatkan Nota
Anda
hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda
mampu memahaminya. Ramai pelajar yang
mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja
menjemukan malah merugikan masa anda,
sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Setelah
anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas.
Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda
fahami. Bandingkan nota anda dengan teks
asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.
Ringkaskan
setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta.
Buatkan senarai kata kunci dan hafal.
Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata
kunci yang ada. Pastikan apabila anda
mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang
berkaitan dengannya.
Latih diri anda untuk peperiksaan
Anda
perlu melatih diri anda untuk peperiksaan.
Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang
terbaik. Minda anda juga seperti
otot-otot fizikal anda yang lain. Ia
perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling'
perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran
ber'bowling'. Begitu juga dengan
peperiksaan. Anda perlu melatih diri
anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.
Syarat-syarat
latihan peperiksaan ialah:
1.Latih
mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan
tepat.
2.Latih dalam tempoh masa yang
tertentu.
3.Anggapkan setiap latihan seperti
peperiksaan sebenar.
4.Latih
menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang
berkesan.
1.
Latih mengeluarkan
maklumat
Maklumat
yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan
semula. Oleh itu anda perlu
sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah
dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan
seperti:
Ø Menjawab
soalan-soalan;
Ø Menceritakan
semula apa yang telah dipelajari;
Ø Melakarkan
kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
Ø Mengadakan
perbincangan dengan rakan;
Ø Menyediakan
kad imbasan kecil.
Ø Menggambarcarakan
apa yang telah dipelajari.
Ø Sekiranya
anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan
soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan
fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya
dalam peperiksaan sebenar kelak.
2.
Hadkan masa
menjawab
Pastikan
anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan.
Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi
anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang
berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan.
Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui
latihan yang berterusan.
Oleh
itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian.
Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.
3.
Anggap seperti
peperiksaan sebenar
Pastikan
anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan
rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan
yang sebenar. Elakkan dari meniru
sepanjang menjalani latihan ujian.
Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan
sekali-kali biarkan fikiran anda melayang.
Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu
belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam
peperiksaan yang sebenar nanti.
4.
Strategi menjawab
soalan
Untuk
mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda
memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.
Langkah-langkah berikut dapat membantu:
1.Baca
arahan terlebih dahulu.
2.Baca
arahan terlebih dahulu.
3.Kenal
pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.Jawab
soalan mengikut turutan berikut:
Ø Jawab
soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti
jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang
telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
Ø Jawab
soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya
dengan satu kali cubaan.
Ø Jawab
soalan-soalan yang susah - iaitu soalan
yang memerlukan masa yang panjang atau
soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
Ø Semak
- Pastikan semua soalan dijawab;
Untuk soalan objektif, pastikan
tandanya betul.
Ø Ulang
jawab -
Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan
kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya
menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.
Mencari sebab
(post-mortem)
Anda
perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab
soalan-soalan. Setelah anda selesai
membuat latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan
'post-mortem', iaitu proses mencari sebab.
Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:
Ø Tidak
tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda
kurang. Maka berikan masa membaca
tajuk-tajuk tersebut.
Ø Tidak
faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan padaguru atau rakan.
Ø Lupa
- Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
Ø Cuai
- Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di
atas.
Ø Keliru
- Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari
peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang masa
Dalam
suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang
untuk mengulangkaji. Sekirannya
masa yang terluang tidak sesuai untuk
anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih
mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada
diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai
kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan
lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam
peperiksaan kelak.
Bagi
mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi
mengulangkaji.
No comments:
Post a Comment